enarjamsptes

mail admin.lsan@kedah.gov.my call 04-774 4650 fax 04-774 4655     gpinfbtwiterig

tongtambah

ALOR SETAR 8 Jun - Kerajaan Kedah memutuskan untuk menyumbang 500 lagi tong air berkapasiti 900 liter kepada rakyat negeri ini sebagai persiapan menghadapi masalah bekalan air ketika Syawal nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, tong air tambahan itu diagihkan ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

“Dalam mesyuarat Exco tadi (semalam), kita bersetuju untuk penambahan pemberian 500 lagi tong air berbanding 1,000 tong air pada hujung bulan lalu.

“Kita sedar penggunaan air akan meningkat sekali ganda pada musim perayaan, jadi ini adalah untuk memastikan rakyat kurang berkemampuan dan tidak mempunyai tangki simpanan air di rumah mereka dapat menyimpan air.

“Penambahan tong air tersebut akan diagihkan kepada 36 kawasan DUN di negeri ini terutama kawasan berdepan masalah air kritikal,” katanya selepas melawat tapak bazar Ramadan di Stadium Darul Aman, di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya meminta Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyediakan lori mengangkut air untuk dibekalkan ke kawasan yang menghadapi masalah bekalan air kritikal pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, beliau menafikan pihaknya memilih kasih dengan hanya mengagihkan tong air berkenaan ke kawasan yang dimenangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Itu tidak benar, kita mengagihkan tangki air plastik itu kepada semua 36 kawasan DUN di negeri ini.

“Kawasan yang mana ADUN adalah pembangkang pula akan diberikan kepada penyelaras DUN BN dan semua rakyat tanpa mengira parti politik berhak menerima sumbang­an tersebut jika layak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ah­mad Bashah berkata, pihak­nya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagang­an Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau tapak bazar Ramadan di seluruh negeri.

Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin

Sumber : Utusan