enarjamsptes

mail admin.lsan@kedah.gov.my call 04-774 4650 fax 04-774 4655     gpinfbtwiterig

jalan terhakis

BALING 15 Mei - Jarak hakisan tebing sungai sepanjang 15 meter dengan jalan utama penduduk Kampung Tanjung Merbau Batu 42 Mukim Pulai kini hanya tinggal kurang dua meter.

Difahamkan, masalah bermula pada 2009 itu berulang akibat banjir besar yang melanda kampung tersebut pada Mac lalu, dengan hakisan berlaku setiap kali hujan lebat.

Penduduk, Mohd Ehsan Hashim, 29, berkata, jalan utama penduduk akan terputus sekiranya hakisan tebing itu dibiarkan.

Menurutnya, hanya jalan tersebut dapat digunakan untuk melakukan urusan harian termasuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku banjir.

“Jalan ni saja orang kampung guna nak pi pekan, masjid, hantar anak sekolah dan macam-macam lagi. Kampung kami ni kawasan banjir, boleh kata selalu sangat jadi.

“Banjir pula bukan boleh jangka, kadang jadi tengah malam. Kalaulah waktu tu penduduk guna jalan ni tapi runtuh, apa akan jadi? Tak kan depa nak tunggu orang mati baru nak mai buat,” katanya, di sini, semalam.

Tinjauan Sinar Harian bersama penduduk semalam mendapati jarak hakisan tebing sungai semakin hampir dengan jalan.

Jalan tersebut dijangka terputus sekiranya cuaca tidak menentu berlarutan dalam tempoh beberapa bulan daripada sekarang.

Penduduk, Abdul Ghani Ahmad, 56, berkata, kebun getah milik penduduk berhampiran sungai turut berdepan hakisan.

“Makin lama makin terhakis. Lepas ni tanah kebun getah penduduk pun terhakis kalau tak dibendung daripada awal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Kampung Tanjung Merbau, Batu 42, Mahmud Mohamad Saad berkata, tiada sebarang tindakan biarpun aduan kepada pihak berwajib dibuat dua minggu lalu.

“Tahun 2009 lagi kita dah buat permohonan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tapi tiada tindakan. 2010 sekali lagi permohonan dibuat, barulah mereka datang.

“Yang tu pun depa hanya tanam kayu bakau di kawasan hakisan tebing sebab katanya peruntukan tak ada. Nak tahan lama mana sangat dengan kayu bakau tu? Mai banjir Mac tahun ni, habis semua hanyut,” katanya.

Menurut Mahmud, pihak berwajib disaran meluluskan permohonan pemasangan batu raga di sepanjang 100 meter, selain mendalamkan sungai.

“Kita saran pasang batu raga sepanjang 100 meter di kawasan tebing runtuh dan sekitarnya serta dalamkan sungai. Hanya dengan cara tu masalah ni dapat diatasi.

“Saya harap pihak berwajib utamakan masalah penduduk. Dengan keadaan cuaca tidak menentu musim ni, macam-macam boleh jadi,” katanya.

Sumber : Sinar