English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • kedahmail.jpg
  • waktubekerja.png
  • KedahApps.png
  • Kereta_Berhias.jpeg
  • Daerah_Tanah_1.png

SULTAN KEDAH SEMPURNA PECAH TANAH PROJEK WAKAF HARTANAH

ALOR SETAR 21 November - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini berkenan menyempurnakan upacara pecah tanah projek pembangunan hartanah di atas tanah wakaf di Telok Chengai, Jalan Kuala Kedah dekat sini.

Projek yang diberi nama Taman Sultan Sallehuddin itu dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2019 setelah mendapat kelulusan pembangunan dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, pembangunan usahasama antara UDA Waqf yang merupakan anak syarikat kumpulan berkenaan bersama Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) itu akan dilakukan secara berperingkat di atas tanah berkeluasan 27.23 ekar dan dijangka siap dalam sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

"Di sini kami bakal menyediakan 286 unit hartanah merangkumi 136 unit rumah berkembar dua tingkat, 69 unit rumah teres dua tingkat, 64 unt rumah kos rendah setingkat, 15 unit kedai pejabat dua tingkat serta dua unit kedai pejabat tiga tingkat.

"Rumah kos rendah akan dijual dengan harga RM45,000 sementara rumah-rumah lain berharga RM370,000 ke atas. Untuk kedai pejabat pula dijual pada harga RM600,000 dan ke atas," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin turut berangkat ke majlis tersebut.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ahmad Kasim serta Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Syeikh Hasbullah Abd. Halim.

Perjanjian usahasama antara UDA Waqf dan MAIK berhubung projek tersebut dimeterai pada 16 November 2016 degan MAIK akan menerima enam unit kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta pulangan tunai berjumlah RM12 juta.

Projek pembinaan Taman Sultan Sallehuddin itu merupakan pembangunan hartanah wakaf pertama oleh UDA Waqf di Kedah dengan sebelum ini Kumpulan UDA berpengalaman membangunkan dua tanah wakaf iaitu Wakaf Seetee Aisah dan Legasi Seberang Jaya di Pulau Pinang.

Penjualan unit hartanah di situ terbuka kepada semua orang Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai Tanah Rizab Melayu dengan kelayakan untuk membeli rumah kos rendah bergantung kepada garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Sementara itu Syeikh Hasbullah memaklumkan, tanah tersebut telah diwakafkan oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd. Ariffin Mohd. Arshad semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

"Sebagaimana diwasiatkan oleh Allahyarham, manfaat yang diperolehi daripada hasil pembangunan tanah ini akan diagihkan kepada tiga buah masjid iaitu Masjid Derga, Masjid Tanjung Musang dan Masjid Jabi.

"Projek ini merupakan salah satu kaedah untuk mengembangkan lagi harta dan manfaat wakaf di negeri ini. Bagi saya mereka yang membeli rumah di sini tidak hanya akan memiliki kediaman malah turut menyumbang kepada pembangunan insttusi wakaf di negeri ini," katanya.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.