English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • kedahmail.jpg
  • waktubekerja.png
  • Kereta_Berhias.jpeg
  • KedahApps.png
  • Daerah_Tanah_1.png

DESTAR TAK PUPUS DITELAN ZAMAN

 

ALOR SETAR 18 November - Tanjak atau destar semakin menjadi tumpuan pada hari ini apabila ramai yang tidak malu memperagakan identiti Melayu itu di majlis-majlis keramaian kerana bangga dengan keunikannya.

Pada umumnya ia adalah sejenis kain penutup kepala yang dipakai oleh raja, orang besar istana, pengantin atau pun pesilat yang mempunyai keunikan bentuk dan falsafah tersendiri.

Pereka Warisan Busan Melayu, Mohd Yatim Mustaffa, 44 berkata, seni tampak Melayu itu juga dikenali dengan bulang hulu, tengkolok, setangan kepala atau pun tanjak.

Menurutnya, destar mempunyai nama yang berbeza di beberapa negeri seperti panggilan tengkolok di Perak, setanjak di Selangor, bulang setangan di Kelantan, deta di Negeri Sembilan dan puntal bersering di Pattani, Thailand.

"Perubahan destar ini sebenarnya dipengaruhi oleh zaman semasa dan bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Kedah Tua yang mana faktor utama adalah kain yang menjadi asas kepada pembuatannya.

"Kemudiannya reka bentuk pula adalah berdasarkan ilham ataupun imaginasi oleh perekanya sendiri ataupun bergantung kepada kehendak mereka yang menempah," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui di kediamannya di Taman Berjaya, dekat sini.

Beliau yang berkemahiran mencipta destar sejak 1993 berkata, kedatangan pedagang-pedagang Arab juga turut mempengaruhi evolusi destar dan elemen serban yang dimasukkan dalam rekaannya.

Menurutnya pertembungan tamadun Melayu-Arab juga telah menghasilkan beberapa nama tanjak seperti tiga susun sireh, lipat takuk, ikat bengkung dan beberapa lagi.

"Selepas itu, muncul pula dua kategori tanjak iaitu pertama adalah tanjak warisan dan yang kedua adalah tanjak hiasan yang mana kedua-duanya tidak terlepas dari elemen alam seperti tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan.

"Waktu ini antara rekaan dan nama tanjak yang popular adalah seperti mumbang belah, lang menyonsong, cogan daun kopi dan banyak lagi," katanya.

Jelasnya, beliau memperolehi ilham untuk mengabungkan ikatan klasik bersama moden yang akhirnya diterima ramai selepas berguru selama berbelas-belas tahun dengan beberapa orang lama yang mahir dalam mengikat dan membuat tajak.

"Selain dari butik pengantin dan kumpulan kebudayaan, terdapat juga penempah perseorangan yang mahu menyimpan sebagai koleksi ataupun mengayakannya sebagai fesyen apabila adanya majlis tertentu termasuk Hari Raya Aildilfitri dan Aidiladha.

"Saya juga menerima tempahan khas dari artis yang sinonim dengan dunia persilatan seperti Ebby Yus, Eman Manan dan beberapa artis lagi selain tempahan dari istana, Singapura dan juga Indonesia," katanya lagi.

Mohd Yatim berkata, harga setiap tanjak bermula RM70 sehingga RM320 mengikut jenis kain yang digunakan, jenis solekan atau jenis tajak yang hendak dibuat.

Tambahnya, tanjak hiasan yang bersumberkan flora dan fauna, binatang dan sebagainya harga bermula RM250 dan ke atas.

"Bagi tanjak khas masa yang diambil adalah di antara satu jam setengah hingga dua jam berbanding jenis tanjak warisan yang mengambil masa tidak lama untuk dibentuk kerana corak dan bentuknya yang sama," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui terdapat tanjak khas yang tidak dijualnya kerana mempunyai sentimental malah pernah ditawar sehingga RM2,200 oleh peminat dari Singapura.

"Tanjak ini diberi nama gagak di rimba yang merupakan antara ciptaan terawal lebih 14 tahun lalu menggunakan kain songket Indonesia dan popular sekitar era 70 dan 80-an.

"Teknik penghasilannya tidak menggunakan sebarang gam kain atau gam kertas untuk alas kain yang 100 peratus yang mana panjangnya 2 meter dan lebar 1 meter," katanya yang mengakui tengkolok itu juga mendapat perhatian peminat dari Australia.

Mohd Yatim berkata, beliau pernah menerima tempahan serentak sehingga 300 tanjak pada Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 2008.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.