English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • Daerah_Tanah_1.png
  • KedahApps.png
  • kedahmail.jpg
  • waktubekerja.png
  • MESYUARAT-BAJET-2019.jpg

50K BANJIRI ALOR SETAR SAKSIKAN PERARAKAN, PERBARISAN DIRAJA

 

 

ALOR SETAR 20 Oktober - Lebih 50,000 penduduk dari seluruh negeri membanjiri bandar raya ini bagi menyaksikan Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan sempena Pertabalan Sultan Sultan Kedah yang ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Orang ramai mula berkumpul seawal pukul 6.30 pagi di sepanjang laluan perarakan dari Dataran Wisma Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar kerana tidak mahu melepaskan peluang 'bertemu' dengan Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff yang menaiki Bahtera Diraja yang diberi nama 'Bahtera Layang Emas'.

Perarakan yang penuh adat, tradisi dan simbolik itu bermula pada kira-kira pukul 8.30 pagi itu dengan iringin pancaragam Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dan 10 kuda dari Unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengiringi perarakan sejauh kira-kira tiga kilometer melalui enam hentian utama.

Tiga ekor gajah yang diberi nama Pian, Alam dan Rambai dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah turut berarak dalam istiadat perarakan itu sebagai gambaran simbolik kegemilangan pemerintahan zaman raja-raja Melayu suatu masa dahulu.

Perarakan itu turut diringi pelajar sekolah, anggota tentera dari Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Manakala di hentian terakhir, perarakan itu disertai Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah bersama 10 orang Datuk Bergelar yang dikenali sebagai Orang Besar 16 termasuk 40 orang Pegawai Tadbir Negeri (KCS).

Sepanjang perarakan itu, Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha tidak putus-putus melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada ribuan rakyat jelata yang berhimpun di kiri dan kanan jalan itu sebagai gambaran menjulang kasih pemerintah dan rakyat berpisah tiada.

Sebaik tiba di Dataran Medan Bandar, Sultan Sallehuddin berkenan menerima sembah Hormat Diraja dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada 136 pegawai Briged 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra.

Pada majlis itu, lagu baginda turut melakukan pemeriksaan perbarisan pasukan KKU sebelum berangkat pulang dengan iringan lagu negeri "Allah Selamat Sultan' diikuti kerabat-kerabat diraja dan tetamu kehormat.

Berangkat hadir ke Istiadat Perbarisan Kehormatan itu ialah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.