English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • KedahApps.png
  • MESYUARAT-BAJET-2019.jpg
  • kedahmail.jpg
  • Daerah_Tanah_1.png
  • waktubekerja.png

SULTAN, SULTANAH KEDAH BERKENAN SEMPURNAKAN ISTIADAT SIRAM TABAL

 

ALOR SETAR 14 Oktober - Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff hari ini berangkat menyempurnakan Istiadat Siram Tabal di Dataran Kepala Tanjung, Istana Anak Bukit di sini.

Ia bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Okt depan di Istana Anak Bukit.

Turut berangkat Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah dan isteri Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Selain itu, Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Datin Seri Diraja Puan Seri Datuk Nora Abdullah serta Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria serta pemimpin-pemimpin kerajaan negeri yang lain juga turut hadir sama ke istiadat berkenaan.

Datuk Bijaya Indera merangkap Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah mengadap Sultan Sallehuddin untuk memohon perkenan bagi memulakan Istiadat Siram Tabal.

Istiadat itu dimulakan dengan perarakan masuk air mata air dan air zam zam diketuai Datuk Jaya Budiman Datuk Paduka Mohd Puat Mohd Ali bersama Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang serta Imam Masjid Negeri Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim Al-Hafiz serta 12 Pegawai Daerah terlibat dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Datuk Mohd Zohdi Saad.

Datuk Jaya Budiman bersama Mufti Kedah serta Imam Masjid Negeri itu mengadap dan mengangkat sembah kepada Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha manakala 12 Pegawai Daerah dan Datuk Bandar menunduk hormat kepada baginda berdua sebelum kesemua mereka bergerak ke Pancapersada.

Pegawai Daerah membawa 12 batil perak berisi sumber air dari 12 mata air yang terdapat di kawasan tanah tinggi masing-masing manakala Datuk Bandar yang membawa satu batil emas berisi air zam zam.

Air mata air itu terdiri daripada air mata air dari Gunung Keriang, dekat Alor Setar; dari Air Terjun Tupah (Kuala Muda); dari Ulu Riau, Sedim (Kulim); dari Bukit Perangin (Kubang Pasu); dari Gunung Inas (Baling); dari Hutan Simpan Rimba Teloi (Sik).

Selain itu, air mata air dari Air Terjun Seraya (Padang Terap); dari Telaga Tujuh, Padang Matsirat (Langkawi); dari Puteri Mandi Gunung Jerai (Yan); dari Bukit Ulu Jawi Relau (Bandar Baharu); dari Sungai Rambai Bukit Perak (Pendang) dan dari Kampung Budi, Mukim Lesong (Pokok Sena).

Setelah itu, Datuk Jaya Budiman naik ke Pancapersada dan berdiri di belakang tiga tempayan untuk Air Siram Taubat, Air Siram Selamat dan Air Siram Syukur. Kesemua 12 Pegawai Daerah serta Datuk Bandar menyerahkan batil itu kepada Datuk Bijaya Budiman.

Datuk Jaya Budiman kemudiannya menuang kesemua air mata air serta air zam zam itu ke dalam tempayan Air Siram Taubat, Air Siram Selamat dan Air Siram Syukur.

Kemudian, perarakan masuk 10 Pegawai Tadbir Negeri Wanita dengan sembilan daripadanya membawa batil berisi sembilan jenis bunga setiap satu untuk dimasukkan ke dalam tempayan di Pancapersada itu bagi digaul sebati yang diketuai Datuk Andika Raja Datuk Wira Mohd Zain Osman.

Datuk Andika Raja bersama seorang daripada Pegawai Tadbir Negeri Wanita itu Puan Sunita Abd Aziz mengangkat sembah kepada Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha manakala sembilan lagi Pegawai Tadbir Negeri Wanita itu menunduk hormat kepada baginda berdua yang kemudiannya mereka bergerak ke Pancapersada.

Bunga-bunga itu ialah Bunga Cempaka; Bunga Melor; Bunga Kesidang; Bunga Melati; Bunga Kenanga; Bunga Lili; Bunga Mawar Kuning; Bunga Kekwa dan Bunga Harum Malam.

Setelah tiba di Pancapersada itu, kesemua sembilan Pegawai Tadbir Negeri Wanita itu menyerahkan batil berkenaan kepada Sunita, yang kemudiannya Sunita menjemput bunga dari batil ke dalam tempayan Air Siram Taubat, Air Siram Selamat dan Air Siram Syukur.

Selepas itu, perarakan masuk mengandungi sintok, limau, dan kemenyan dengan diketuai Datuk Seraja Setia Datuk Paduka Rasli Basir diiringi Penghulu Mukim Sungai Petani Tuan Ahmad Fuad Zainol Abidin serta tiga penghulu ke atas Pancapersada.

Datuk Seraja Setia bersama Ahmad Fuad mengangkat sembah kepada Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha manakala tiga penghulu itu menunduk hormat kepada baginda berdua. Kemudian, Datuk Seraja Setia bersama Ahmad Fuad mengiringi tiga penghulu yang membawa sintok, limau dan kemenyan itu ke Pancapersada.

Setelah itu, perarakan masuk pawai-pawai diraja dengan diketuai Datuk Johan Jasa Kolonel Datuk Tunku Aziz Bendahara Tunku Nong Jiwa ke atas Pancapersada. Turut berangkat bersama Datin Paduka Datuk Tunku Kamaliah Almarhum Sultan Badlishah dan Datin Paduka Tunku Nafisah Almarhum Sultan Badlishah serta pawai-pawai diraja lain.

Datuk Johan Jasa bersama pawai-pawai diraja itu mengangkat sembah kepada Sultan dan Sultanah Kedah sebelum ke Pancapersada.

Kemudian, Ketua Istiadat mengadap dan memohon limpah perkenan Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha untuk berangkat naik ke Pancapersada. Setelah itu, baginda berdua berangkat naik ke Pancapersada dengan diiringi Ketua Istiadat bersama pembawa alatan kebesaran iaitu pembawa pedang, tombak, lembing dan payung barambu.

Selepas Sultan dan Sultanah Kedah itu bersemayam di atas Pancapersada, Ketua Istiadat mengadap dan memohon limpah perkenan baginda berdua untuk memulakan Istiadat Siram Tabal. Tunku Bendahara Kedah berkenan menabur bunga rampai dan merenjis air mawar ke atas baginda berdua sebagai tanda mulanya istiadat itu.

Syeikh Roslan membaca doa sebelum Istiadat Siram Tabal itu dijalankan. Turut kedengaran Nobat dipalu lagu 'Gendang Anak' semasa istiadat itu bermula.

Tunku Nafisah bersama Tunku Kamaliah berkenan menyiram air daripada ketiga-tiga tempayan itu ke atas Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha dengan diikuti siraman terakhir oleh Mufti Kedah ke atas baginda berdua.

Setelah itu, Syeikh Fadzil mengadap baginda berdua dan terus melafazkan doa. Kemudiannya, Ketua Istiadat mengadap baginda berdua dan mempersembahkan istiadat itu selesai.

Selepas itu, Sultan dan Sultanah Kedah berangkat meninggalkan Pancapersada dan pulang.

Sumber : Utusan

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.