English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • waktubekerja.png
  • Majlis-Yasin-Pertabalan.png
  • Daerah_Tanah_1.png
  • KedahApps.png
  • kedahmail.jpg
  • WhatsApp-Image-2018-09-19-at-12.20.42-PM.jpeg

ISTIADAT LETAK KERJA SEMPENA PERTABALAN SULTAN KEDAH BERMULA

ALOR SETAR, 20 Sept (Bernama) -- Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang bakal berlangsung pada 22 Okt depan, hari ini dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja.

Istiadat Letak Kerja yang diadakan di Balai Besar di sini berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah sebagai penzahiran tanda perkenan Sultan Kedah untuk memulakan Istiadat Pertabalan Baginda.

Sebelum itu, lagu "Allah Selamat Sultan" berkumandang selepas keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff ke Balai Besar.

Turut berangkat hadir menyaksikan istiadat ini adalah Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Datin Seri Diraja Puan Seri Dato' Nora Abdullah; Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri yang lain.

Selepas itu Datuk Bijaya Indera, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah memohon sembah perkenan daripada Baginda untuk memulakan Majlis Istiadat Letak Kerja yang disusuli Perarakan Masuk Air (Mata Air) dari 12 daerah di Kedah dan air zam zam yang diketuai Pegawai Daerah setiap daerah negeri berkenaan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad.

Perarakan itu dimulakan dengan membawa masuk batil perak yang diisi air mata air dari Daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu, Baling, Sik, Padang Terap, Langkawi, Yan, Bandar Baharu, Pendang dan Pokok Sena yang diakhiri dengan membawa batil emas air zam zam.

Kesemua air itu diambil dari mata air yang terdapat di setiap daerah yang terkenal dengan sejarah dan kebersihannya seperti air mata air di Gunung Keriang, Air Terjun Tupah (Kuala Muda), Air Sungai Sedim (Kulim), Gunung Inas (Baling) dan Lata Embun (Sik).

Istiadat Letak Kerja itu kemudian diteruskan dengan perarakan membawa masuk sembilan jenis bunga-bungaan oleh Pawai-Pawai Wanita yang terdiri daripada Kerabat Diraja.

Bunga-bungaan itu terdiri Bunga Cempaka Kuning, Bunga Melur, Bunga Kesidang, Bunga Melati, Bunga Kenanga, Bunga Lili, Bunga Mawar Kuning, Bunga Kekwa dan Bunga Harum Malam.

Perarakan itu akhirnya dilengkapkan dengan membawa masuk dulang yang mengandungi sintok, limau dan kemenyan oleh tiga orang penghulu.

Kesemua air mata air, bunga serta sintok, limau dan kemenyan itu akan digunakan pada Istiadat Siram Tabal yang dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit di sini pada 14 Okt depan.

Baginda kemudiannya perkenan mengambil dan membuka kapsul skrol pengisytiharan yang diserahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Kol (K) Datuk Elmi Yusoff bagi menitahkan Istiadat Letak Kerja dimulakan.

Mukhriz selepas itu menerima Watikah Pengisytiharan Letak Kerja daripada Baginda sebagai tanda bermulanya kerja bagi Istiadat Pertabalan itu.

Serentak dengan itu tembakan meriam dilepaskan sebanyak sembilan das dan nobat dipalu.

Sewaktu Mukhriz menerima watikah, tembakan pertama dilepaskan serta nobat dipalukan dengan Lagu Perang-'Raja Bertabal' sehingga selesai dan tembakan kedua sehingga kelapan pula dilepaskan semasa nobat dipalu dan berakhirnya nobat, tembakan kesembilan dilepaskan.

Berakhirnya nobat dan tembakan meriam itu, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang membacakan doa dan kemudiannya diakhiri dengan lagu "Allah Selamat Sultan".

Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 ini melibatkan beberapa istiadat bermula dengan Istiadat Letak Kerja diikuti Istiadat Ziarah Makam pada 5 Okt, Istiadat Siram Tabal (14 Okt), Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan (20 Okt) dan Istiadat Pertabalan Sultan Kedah (22 Okt).

Pada 12 Sept 2017, Baginda telah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.

Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Sultanah Kedah serta dikurniakan dua putera, Tengku Sarafudin Badlishah dan Datuk Tunku Shazuddin Ariff.

Baginda adalah anakanda kesembilan daripada 14 putera dan puteri Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958.

Pertabalan ini adalah istimewa kerana kali terakhir istiadat ini berlangsung adalah pada 59 tahun yang lalu ketika pertabalan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.