English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • waktubekerja.png
  • kedahmail.jpg
  • WhatsApp-Image-2018-09-19-at-12.20.42-PM.jpeg
  • KedahApps.png
  • Majlis-Yasin-Pertabalan.png
  • Daerah_Tanah_1.png

HARGAI KEDAH HENTIKAN PEMBALAKAN DI ULU MUDA

ALOR SETAR 3 September - Kerajaan Persekutuan menyifatkan keputusan Kerajaan Kedah menghentikan aktiviti pembalakan serta membatalkan serta merta lesen pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai keputusan terbaik bagi mengelak kawasan tadahan air tercemar.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, keputusan itu merupakan khabar gembira yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada pertemuannya di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya, ia antara keputusan penting memandangkan sebelum ini pihaknya ada memohon kerjasama Kedah untuk mewartakan kawasan itu sebagai hutan tadahan air.

"Ia kawasan penting bagi membekalkan keperluan air mentah di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Ini merupakan keputusan terbaik bagi mengelak kawasan tadahan air terjejas kerana kawasan Ulu Muda sangat sensitif," katanya, pada sidang media, selepas hadir taklimat berkaitan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di pejabat JPS Kedah, hari ini.

Xavier berkata, langkah itu juga dapat mengelak berlakunya pencemaran alam sekitar serta gangguan ekosistem di kawasan berkenaan.

"Difahamkan, kelulusan permit yang diluluskan tahun ini juga ditarik balik, termasuk di kompartmen yang dibenarkan membalak sebelum ini. Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Asli baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, beberapa lokasi pembalakan berdekatan kawasan sempadan tadahan air turut dihentikan kerana ia antara punca berlakunya banjir lumpur, pencemaran serta akan mengurangkan bekalan air di kawasan tadahan.

Hutan Simpan Ulu Muda berkeluasan sekitar 100,000 hektar terletak di Sik, dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi empangan Ahning, Pedu dan Muda di negeri ini, selain Perlis dan Pulau Pinang membabitkan jumlah penduduk 4.09 juta orang.

Sebelum ini, aktiviti pembalakan di situ termasuk di luar kawasan tadahan air, mendapat bantahan pelbagai pihak dan NGO yang bimbang aktiviti itu merosakkan alam semula jadi serta menyebabkan krisis air dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.