English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • Kereta_Berhias.jpeg
  • Daerah_Tanah_1.png
  • kedahmail.jpg
  • KedahApps.png
  • waktubekerja.png

BANTU NAIK TARAF INFRASTRUKTUR BEKALAN AIR

 

ALOR SETAR 3 September - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) dalam usaha meneruskan proses migrasi penstrukturan sistem bekalan air di negeri ini.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, proses itu akan melibatkan penstrukturan yang holistik, di mana Kerajaan Persekutuan akan membantu Kedah menaik taraf sistem bekalan air sedia ada, termasuk menyalurkan bantuan kewangan.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya meminta Kedah melakukan kajian termasuk aset dimiliki Sada yang boleh digunakan dalam membantu mempercepatkan proses migrasi.

"Kedah satu-satunya negeri yang diminta lakukan kajian terhadap aset yang boleh dinilai untuk kita salurkan bantuan kewangan bagi naik taraf sistem bekalan air. Kita mahu tingkatkan penyampaian sistem bekalan air menerusi proses ini," katanya, pada sidang media, selepas hadir taklimat berkaitan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di pejabat JPS Kedah, hari ini.

Dalam pada itu, Xavier berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di Langkawi, pihaknya merangka penyelesaian jangka pendek, antaranya dengan membina off river storage yang diluluskan dalam bentuk geran bernilai RM 600 juta.

"Peruntukan sudah diluluskan dan kini di peringkat reka dan bina, dijangka dimulakan tahun depan dan mengambil masa selama empat tahun. Saya turut arahkan pegawai mengkaji bagaimana untuk kita tingkatkan bekalan air terawat dalam tempoh setahun setengah sebagai program fast trek," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut bercadang membina Loji Rawatan Air berkapasiti 20mld dan kemungkinan bekerjasama dengan pihak swasta dalam melaksanakan projek ini.

Mengulas mengenai perjanjian syarikat konsesi air di Langkawi, katanya, ia masih diteruskan sehingga tamat perjanjian pada 2020.

"Ini merupakan pakej tambahan untuk jangka pendek, sementara perjanjian itu tamat dan bincang semula antara pihak terlibat. Kapasiti bekalan air di Langkawi sekitar 88 juta liter sehari manakala keperluan mencecah 98 juta liter, kita perlu penuhi permintaan ini terlebih dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Xavier berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri untuk mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik/kos rendah di seluruh negara.

"Terdapat beberapa kawasan dan tanah di Kedah, khususnya Langkawi dan Alor Setar dibincangkan untuk pembangunan ini. Ini susulan permintaan tinggi, dan akan pastikan lokasi strategik dan bukan terlalu jauh dari bandar serta fasiliti," katanya.

Menurutnya, tanah berkenaan juga tidak akan dijual, sebaliknya diadakan konsep perkongsian kerjasama antara agensi berkaitan, pemaju, serta PBT.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.